BESUT 14 April - Tiga pelajar perempuan di kampus utama Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) Bachok, Kelantan maut, manakala dua rakan mereka cedera parah apabila kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori tangki di Kampung Gerai dekat sini, pagi kelmarin.
Mereka yang terbunuh ialah Nordiana Mohd. Nor, 22, berasal dari Johor; Zur Iras Zakaria, 19, dari Kampung Titian Atas Tol, Kuala Terengganu dan Nurul Shahidah Abdul Jabbar, 19 tahun dari Tanah Merah, Kelantan.
Dalam nahas kira-kira pukul 6 pagi itu, Nordiana (pemandu) dikatakan tersepit di kerusi pemandu, manakala Zur Iras tercampak keluar. Kedua-duanya mati di tempat kejadian.
Sementara Nurul Shahidah dari Tanah Merah pula meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Besut.
Dua mangsa yang cedera parah ialah Nur Adilah Mohd. Ghazali, 19, dari Tanah Merah, Kelantan dan Bazilah Abdullah, 19, dari Kampung Tiong Dalam, Kota Bharu, Kelantan. Mereka kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, Kelantan.
Kesemua lima sahabat itu merupakan penuntut tahun dua jurusan kejururawatan di KIST Cawangan Bachok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Suprintendan Noor Zainy Mohd. Nor berkata, kejadian berlaku sewaktu kereta yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju Bachok.
Menurutnya, setiba di tempat kejadian, kereta berkenaan cuba memotong kenderaan lain di depannya tetapi gagal lalu bertembung dengan lori tangki minyak tersebut.
"Sejurus kenderaan itu bertembung, lori tanpa muatan terlibat yang dipandu oleh Khairi Ayob, 43, kemudian turut merempuh pokok dan sebuah wakaf di tepi jalan sebelum terhumban ke dalam parit di situ," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu lori itu yang ketika kejadian dalam perjalanan untuk mengisi minyak di Kerteh, Kemaman hanya cedera ringan dan dia dirawat di Hospital Besut.
Sementara itu, lima pelajar berkenaan yang tinggal di Asrama Muiz Dalam Rhu di Pasir Puteh, Kelantan itu dikatakan menaiki kereta milik rakan mereka untuk pergi bersiar-siar di bandar Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 malam tadi.
Rakan mangsa, Norasyikin Nasri, 19, berkata, pada mulanya, dia dan rakannya, Nur Amirah Shamsudin, 20, berbincang untuk bersama-sama Nordiana ke Kuala Terengganu, namun mengubah fikiran di saat akhir sebelum diganti oleh Nurul Shahidah dan Zur Iras.
"Pagi ini, saya terima panggilan telefon mengatakan mereka kemalangan dan pada awalnya saya anggap kemalangan biasa saja, namun sebaik tiba di hospital, rupa-rupanya tiga rakan saya sudah 'tiada'," katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Besut di sini.
Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Faisal Deros melalui talian telefon 0133293760.
Apa yang menarik kat sini | ||
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!! | ||
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini! | ||
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan |
0 komen:
Post a Comment