BIARPUN ketika ini filem-filem Melayu tempatan banyak menjengah pawagam, namun produksi terbitan Metrowealth Pictures milik David Teo selalunya sering mendapat perhatian ramai. Terbaru adalah Kongsi, sebuah filem bercorak aksi komedi yang sememangnya salah sebuah karya yang sedang dinanti-nantikan oleh penonton sejak ia mula dipromosikan pada akhir tahun lalu.
Diarahkan oleh pengarah dan pelakon muda berbakat besar iaitu Farid Kamil, filem tersebut turut menampilkan pemenang Anugerah Bintang Popular 2010, Shaheizy Sam selaku teraju utama.
Justeru, ia dilihat sebagai strategi bijak bagi memunculkan sebuah lagi filem pecah panggung bertaraf mega.
Gabungan buat pertama kalinya David, Farid dan Sam maing-masing dalam posisi penerbit, pengarah dan pelakon utama menerusi Kongsi boleh diklasifikasikan sebagai kolaborasi pecah panggung!
Menurut Farid, Kongsi pada mulanya dihasilkan setelah dia mengemukakan cadangan kepada David untuk menghasilkan sebuah filem yang bercorak aksi, namun boleh ditonton oleh semua golongan.
“Pada asalnya, filem ini sebenarnya adalah bercorak aksi sepenuhnya. Namun, saya merasakan ia tentu akan dikategorikan untuk penonton 18 tahun ke atas seperti pengalaman menghasilkan filem V3 Samseng Jalanan sebelum ini.
Kemudian saya ambil keputusan untuk mengolah skripnya semula dan akhirnya ia menjadi sebuah filem bercorak aksi komedi yang boleh ditonton oleh semua orang,” jelasnya.
Kongsi berkisar tentang penyiasatan seorang pegawai polis terhadap kes pembunuhan di kalangan kumpulan kongsi gelap yang terdiri dari tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India.
Selain Sam, tenaga lakonan Kongsi diperkuatkan barisan pelakon yang sudah dikenali ramai terdiri daripada Fizo Omar, Norliana Samsudin, Puteri Mardiana, Bront Palarae dan Azad Jazmin.
Mengenai pemilihan Sam sebagai pelakon utama yang membawakan watak antagonis, Farid menjelaskan ia dibuat memandangkan pada masa itu nama Sam sedang hangat menerusi filem Adnan Sempit.
Bagaimanapun, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan hasil lakonan yang ditampilkan Sam yang memegang watak sebagai Tumulak iaitu seorang pembunuh upahan yang ditugaskan untuk menggempur habis-habisan kumpulan kongsi gelap di Malaysia.
“Secara jujurnya, saya gembira dapat bekerjasama dengan Sam kerana saya melihat dia sebagai seorang pelakon yang begitu komited dengan watak yang diberikan.
“Malah, saya turut rasa begitu bertuah memandangkan tidak sukar buat saya untuk membentuknya menjadi seorang yang membawakan antagonis, namun dapat diterima ramai,” ujarnya.
Terus berlakon
GANDINGAN bijak. Farid dan Sam di lokasi penggambaran Kongsi.
Sementara itu, Sam juga turut meluahkan rasa senang dan gembiranya apabila dapat bekerjasama dengan pengarah muda berbakat besar seperti Farid.
Tambahnya, biarpun jarak usia mereka tidak jauh berbeza, namun dia tetap menghormati Farid dan menyifatkannya sebagai seorang pengarah yang cukup berfikiran terbuka.
“Ketika berada di lokasi, memang saya dan dia jarang berbual kerana saya melihat dia seorang pengarah yang jarang berbual kosong melainkan soal kerja ketika penggambaran berlangsung.
“Namun, kami berdua tetap membuat perbincangan bersama-sama. Boleh dikatakan dia banyak memberi tunjuk ajar dan sekiranya saya mempunyai idea yang menarik, dia juga jarang menolaknya,” ujar Sam.
Menurut Sam lagi, dia menyifatkan Farid sebagai pengarah yang cukup berpotensi dan mempunyai kelainan terutama dari sudut penceritaan dan pengarahan yang dilakukan.
Dikenali sebagai seorang pelakon yang cukup menyerlah, kerjaya Farid Kamil dalam bidang pengarahan juga dilihat semakin menyerlah menerusi filem terbarunya itu.
Lihat sahaja filem pertamanya iaitu V3 Samseng Jalanan yang telah ditayangkan pada tahun lalu apabila mencatatkan kutipan sebanyak RM3.88 juta, meskipun ia dikategorikan untuk tayangan 18 tahun ke atas.
Ketika ditanya adakah dia akan berhenti berlakon dan beralih kepada bidang pengarahan selepas ini, Farid menjelaskan bahawa lakonan masih lagi menjadi keutamaan.
“Buat masa ini, saya masih lagi akan terus berlakon seperti biasa. Saya hanya akan mengarahkan filem sekiranya mempunyai masa dan waktu yang sesuai.
“Lagipun masih banyak lagi perkara yang harus saya pelajari untuk bergelar seorang pengarah yang baik dan saya menyasarkan untuk mengarahkan satu atau dua buah filem setahun,” jelasnya.
Untuk tahun ini sahaja, Farid telah mengarah filem berjudul Pertiga yang telah menjalani penggambaran pada Januari lalu dan bakal mengarah sebuah lagi filem dalam tempoh masa terdekat ini.
Kelantan dan Thailand
SAM melakonkan watak utama tetapi antagonis dalam Kongsi.
Biarpun selama ini Sam terkenal menerusi watak-watak hero, namun dia juga pernah tampil dalam watak antagonis iaitu menerusi filem Evolusi KL Drift 2.
Pada kali ini, dia sekali lagi tampil dengan watak antagonis dalam Kongsi. Namun begitu, watak yang dibawakannya itu agak berbeza dengan watak antagonis yang pernah dibawakan sebelum ini.
“Pada saya watak sebagai Tumulak dalam filem ini adalah sangat menarik dan unik. Walaupun watak jahat, ia turut diselitkan dengan unsur komedi pada watak berkenaan.
“Saya merasakan ia adalah satu cabaran baru buat diri saya sebagai seorang pelakon. Untuk filem ini, saya perlu membawakan watak jahat dan pada masa yang sama boleh membuatkan orang ketawa,” jelasnya.
Lebih menarik lagi, Sam turut berdepan dengan cabaran apabila harus bertutur dalam bahasa Thailand dan Kelantan, sesuatu yang pastinya belum pernah dilakukan sepanjang bergelar pelakon.
“Memang ia adalah satu cabaran buat diri saya. Namun, ia dapat diatasi memandangkan saya turut mendapat bantuan dari pelakon lain seperti Fizo Omar yang berasal dari Kelantan serta Bront Palarae yang berkebolehan bertutur dalam bahasa Thai,” ujarnya.
0 komen:
Post a Comment