Home » , » Asal Usul Kaum Suluk / Tausug

Asal Usul Kaum Suluk / Tausug



Masyarakat Malaysia kurang mengenali siapa sebenarnya suku kaum Suluk yang terdapat di Sabah itu. Orang Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk melainkan menggelar diri mereka Tausug yang secara 'harfiahnya' membawa maksud "Orang dari Sulu".


Orang Tausug hingga hari ini masih menjadi pelarian samada di Sulu atau di Sabah kerana tidak mengakui ketuanan Filipina keatas Negara mereka Sulu. Mereka saban tahun memerangi Kerajaan Filipina kerana menganggap diri mereka dipencil dan dianiaya oleh kerajaan Filipina hingga hari ini. 



Ramai yang tak tahu asal-usul orang Tausug ini termasuk orang-orang Tausug sendiri. Siapakah mereka dan dari mana mereka datang? 



Kaum Tausug atau Suluk adalah majoriti di kepulauan Sulu dan bahasanya Bahasa Sug adalah bahasa perantara atau lingua franca sebelum era kesultanannya lagi hingga kini. Kaum Tausug atau Suluk berasal dari rumpun Melayu-Austronesian (Polenesian) sebagai mana masyarakat Nusantara di sekitarnya. Bahasa Sug yang mereka tutur adalah mirip bahasa Melayu lama bercampur bahasa Arab dan bahasa etnik lain di sekitar Mindanao. Mengikut sejarah, bahasa asal Suluk sebenarnya adalah dari bahasa asal Orang Tagimaha (Taguima dari Basilan). 



Mengikut sumber dari Salsilah Sulu yang dicatat oleh pencatat sejarah Najeeb Saleeby dalam bukunya The History Of Sulu (Manila: 1908), suku kaum Tausug ini dan bahasanya berasal dari beberapa etnik yang bergabung iaitu Buranun, Tagimaha, Baklaya, Orang Dampuan dan Orang Banjar. Mereka berhijrah ke kepuluan Sulu sehingga terbentuk satu masyarakat yang dikenali sebagai masyarakat Tausug. 



Orang Buranun dipercayai yang terawal adalah orang yang menduduki kawasan pergunungan di Sulu dan penempatan terkenal mereka ialah di Maimbung. 




Orang Tagimaha pula bermaksud kumpulan pelindung yang datang dari Pulau Basilan yang mana asal sebenar mereka adalah dari pulau besar Mindanao juga dan penempatan terkenal mereka ialah di Buansa atau sekarang dikenali sebagai Jolo (sbt. Holo). 



Orang Baklaya bermaksud orang yang menduduki persisiran pantai adalah dipercayai datang dari Sulawesi Indonesia dan penempatan mereka ialah di Patikul. 



Orang Banjar pula berasal dari Kalimantan, Borneo Indonesia. Tempatnya di Kalimantan ialah di Banjar Masin. 



Orang Dampuan pula berasal dari Champa iaitu salah satu tempat bersejarah di Indochina yang sekarang dikenali sebagai Vietnam dan inilah kaum-kaum seperti yang disebut di atas yang mewarnai wajah bahasa dan rupa paras orang Tausug itu sendiri. 



Suku kaum Tausug juga punya beberapa dialek atau slanga mengikut kawasan atau daerah di antaranya ialah slanga Tausug Tapul, Tausug Basilan, Lugus, Gimbahanun dan lain-lain. Unsur-unsur bahasa Jawa juga ada terdapat dalam bahasa Sug ini tidaklah menghairankan kerana rumpun Melayu di rantau Nusantara ini antara satu sama lain ada similaritinya. Ini disebabkan kekuasaan kerajaan Srivijaya dan Majapahit di tanah Jawa pernah mempengaruhi daerah-daerah sekitar wilayah Kepulauan Sulu sebagaimana sebelum kemunculan kerajaan awal Melayu Melaka. Maka setelah kedatangan Islam muncullah kesultanan Sulu sekitar tahun 1457 M dan pemerintahan Sultan-sultan Sulu berlangsung begitu lama yang menyumbang kepada Bahasa Sug terus bertahan hingga hari ini. 



Asal usul istilah Tausug 


Tausug berasal dari dua suku kata “Tau” (sbt Ta’u) bermaksud “orang” dan “Sug” bermaksud “Arus”. “Orang Arus” maka bolehlah diertikan sebagai orang yang menongkah arus atau orang yang pekerjaannya ada kaitan dengan pasang surut air laut. Kita mengetahui kepulauan Sulu terdiri dari ratusan pulau yang mana pekerjaan penduduknya adalah nelayan dan memungut hasil laut seperti mutiara, agar-agar laut, gamat serta menjalankan perniagaan secara Barter antara Borneo Utara (Sabah) dan Zamboanga dan lain-lain kawasan di Nusantara. Bahkan sebahagiannya menjalankan aktiviti di luar kawalan iaitu aktiviti pelanunan di sekitar perairan Laut Sulu hingga ke Laut Sulawesi dan Laut China Selatan. Maka jelaslah asal gelaran “Orang Arus” itu sesuai dengan kehidupan harian masyarakat Tausug yang menjadikan lautan sebagai sumber kehidupan mereka. 



Satu lagi tafsiran dari perkataan Tausug ialah “Tau Maisug”. “Maisug” bermaksud pemberani iaitu “Orang Yang Berani”. Sebagaimana Spanyol mengakuinya begitu juga tentera Amerika Syarikat malah Ferdinand Marcos sendiri bermatian memerangi kaum ini dengan mengistiharkan undang-undang tentera di Mindanao dan Sulu. Sebab itu gelaran “Juramentado” (Berani Mati) adalah gelaran Spanyol kepada Tausug. Salah satu dari bukti keberanian orang Suluk ini ialah seperti yang dinyatakan oleh Prof. Cesar. 



“Perwira-perwira Islam yang setelah menjalani upacara “keagamaan” dan menunaikan sembahyang semalaman dengan pendeta (Guru Agama - pent.) pada esok harinya akan menyerbu dan menyerang pelanggar-pelanggar Kristian dengan keazaman membunuh seberapa ramai musuh dan mereka ini tidak dijangkakan akan pulang dengan selamat. Harapan yang tinggi bagi perwira-perwira yang sanggup berkorban ini untuk mendapatkan balasan syurga” 



Asal usul istilah Suluk 



Masyarakat Melayu Borneo Utara (Sabah) dan Kalimantan termasuk juga Brunei menggelar kaum Tausug sebagai orang Suluk. Penulis berkeyakinan bahawa panggilan “Orang Suluk” terhadap kaum Tausug ini oleh masyarakat Melayu itu berdasarkan dua sebab. 



Pertama: Perkataan “Suluk” terhasil dari dua perkataan Sulu dan Sug. Oleh kerana masyarakat Melayu sendiri sukar menyebut “Sug” itu dengan sebutan yang betul maka lidah pelat orang Melayu tentu menyebut “Sug” itu dengan sebutan “Suk”, maka hasilnya kita akan lihat kemudian tergabungnya perkataan Sulu + Suk, yang membawa pengertian orang Sug di Sulu atau Suluk. Orang Melayu Brunei adalah yang terkenal menggelar Orang Tausug ini sebagai Suluk seperti yang terdapat dalam buku Tarsilah Brunei. Kesukaran orang Melayu menyebut perkataan ‘Tausug’ itu diganti dengan sebutan yang sesuai pada lidah mereka iaitu Suluk.




Kedua: Perkataan ‘Suluk’ berasal dari istilah ilmu Tasawwuf. Tasawwuf adalah sebahagian dari ilmu Islam yang sangat mendapat perhatian terutamanya di sekitar Nusantara. Di dalam Islam ia juga dikenali sebagai ilmu Ihsan. Bersuluk bermaksud orang yang menyibukkan dirinya dengan zikrullah (mengingat dengan menyebut nama Allah swt sebanyak-banyaknya) di satu tempat tertentu. Manakala dari kata jamaknya ‘Salik’ iaitu seseorang yang menempuh jalan bersuluk mendekatkan diri kepada Allah swt mengikut kaedah Tasawwuf, membersih atau memurnikan rohaninya dengan menjadikan Allah swt sahaja sebagai tujuan hidup dan matinya.



Seorang Salik yang telah mengenal Rabbnya maka tiada yang wujud dalam pandangannya melainkan kewujudan Allah swt al-khalik pendek kata hatinya dipenuhi oleh kebesaran Allah swt. Sebab itu orang Suluk ini ketika sampai di kemuncak kerohaniannya akan terjun ke medan perang setelah panggilan jihad kedengaran kerana tujuannya hanyalah Allah swt semata. 



Ilmu Suluk ini semestinya dipimpin oleh para syeikh yang arif billah. Para syeikh atau guru inilah yang mencetak para mujahid kearah jihad fisabilillah yang digeruni pihak musuh. Prof. Cesar Adib Majul berkata: 



“..tetapi kepada mereka atau para pendeta (Guru Agama - pent) yang mempersiapkan mereka untuk menjalankan tugas tersebut, mempertahankan dar ul-Islam adalah suatu tanggungjawab yang agung. Bagaimanapun, kepada orang-orang Islam Sulu patriotisme dan Islam sangatlah erat hubungannya”.



Maka dapatlah disimpulkan perkataan Suluk itu secara harfiahnya bermaksud orang Islam Sulu yang berpegang kuat dengan ajaran Islam dan sanggup berkorban nyawa demi agama, maruah bangsa dan tanah air tercinta.

**nak tengok mcm mane kaum nie...kat google banyak ;)





Apa yang menarik kat sini
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!!
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini!
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan

2 komen:

  1. Blog yang menarik...singgah ke blog saya...:)

    http://uzaify69.joowaal.net/

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum.
    Tulisannya menarik. Maaf, salam kenal dari saya di Banjarmasin, Indonesia. Silakan singgah di blog saya, Suluh Banjar. Wassalam

    ReplyDelete