gambar hiasan
NAJWA Abu Amra menangis di dalam penjara Gaza ketika dia bercerita bagaimana dia boleh berada di situ. Bergelut untuk membesarkan dua anak lelakinya dan suami yang menagih dadah, dia bersetuju untuk meniduri seorang lelaki untuk mendapatkan kira-kira 50 dolar (RM155).
Dia tidak mahu terjebak dalam pelacuran sebelum ini, tetapi dia semakin terdesak.
"Suami saya tidak normal. Dia beritahu saya untuk meniduri lelaki kerana mereka akan memberikannya wang. Dia buat apa dia suka dan dia tidak berikan saya apa-apa.
"Saya tidak tahu hendak buat apa," katanya.
Suaminya tidak menunjukkan minat untuk menjaga dua anak lelaki mereka berusia sembilan dan tiga tahun. Apabila dia mengugut untuk berpisah dengan harapan suaminya lebih bertanggungjawab, suaminya pula berkahwin lagi.
"Saya mempunyai dua anak lelaki dan seorang daripadanya pekak, saya tak ada pilihan," katanya bercerita sambil diperhatikan tahanan wanita lain dengan sebahagiannya memeluk anak masing-masing.
Akibat terdesak, dia mendail nombor telefon lelaki yang ditemuinya berbulan lebih awal dan bersetuju untuk menidurinya untuk bayaran sekitar RM167.
Tidak lama selepas itu, Najwa ditahan kerana disyaki melakukan tindakan tidak bermoral.Dia dihadapkan ke hadapan hakim dan diperintahkan untuk menghadiri tahanan selama 30 hari (sebelum perbicaraan) di Pusat Latihan dan Pemulihan Wanita, satu-satunya penjara untuk wanita di Gaza.
Kemudahan itu dikendalikan oleh Hamas yang berkuasa ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007. Kumpulan berkenaan memenangi pilihan raya pada 2006 dan setahun kemudian menguasai semenanjung terbabit selepas konfrontasi berdarah dengan pesaingnya, Fatah.
Penjara terbabit yang mengandungi dua bilik menempatkan 19 wanita dan sekumpulan kanak-kanak. Bangunan selebihnya yang masih dalam pembinaan, menempatkan penjara lelaki dan pejabat pentadbiran.
Di dalam sebuah bilik, 11 wanita duduk di atas kusyen dan hamparan tebal, selimut nipis mereka disusun di satu sudut.
Seorang wanita melayan seorang kanak-kanak di dalam bilik yang agak suram yang hanya mempunyai satu tingkap kecil untuk membenarkan sedikit saja cahaya memasuki ruang itu.
Di bilik lain, ada lapan wanita duduk bersembang bersama pengawal penjara wanita, Umm Ahmed, yang melayan mereka dengan perasaan berbaur - simpati dan mual.
Kedua-dua anak lelaki Najwa masih bersama suaminya. Seorang lagi wanita yang kelihatan penat dan takut yang enggan memberitahu namanya, mendodoi anaknya pada kedua-dua lengannya.
Bayi itu dilahirkan hanya tiga hari lalu dan masih belum punya nama. Ibunya dihantar ke hospital untuk melahirkan anak dan pulang ke penjara sejurus selepas itu.
Ayah bayi itu adalah lelaki yang ditidurinya untuk mendapatkan wang, kata Umm Ahmed. Tetapi wanita yang baru bergelar ibu itu menggambarkan lelaki itu suaminya.
Wanita itu berkata, keluarganya mengaturkan perkahwinan berkenaan ketika dia di penjara, dengan harapan itu memadai untuk membolehkannya keluar dari tahanan dan mengurangkan rasa malu yang terpaksa ditanggungnya apabila berhadapan dengan masyarakat kelak.
Tetapi menurut Umm Ahmed, keluarga wanita itu tidak melakukan perkara yang disebutnya itu.
Ia satu penyelesaian biasa, kata Pengarah Keselamatan Penjara, Nasser Deeb Suliman, terutama apabila ia membabitkan lelaki yang dikenali keluarga wanita berkenaan.
"Jika ia membabitkan jiran atau kenalan, biasanya keluarga akan mengambil keputusan untuk mengahwinkan mereka dan wanita itu boleh dibebaskan," katanya.
Kakak wanita terbabit yang juga enggan memberitahu namanya, turut berada dalam situasi serupa.
Dia sarat mengandung dan dijangka melahirkan bayinya bulan ini selepas menghabiskan hampir separuh daripada tempoh kehamilannya di penjara.
Menurut Suliman, wanita berkenaan dibahagikan kepada dua bilik, bergantung kepada jenayah mereka. Tetapi Tahrir berusia 21 tahun yang disabitkan kesalahan kerana membunuh, berada dalam bilik yang sama dengan wanita yang dituduh menjalankan kegiatan pelacuran dan mencuri.
Di bilik bersebelahan pula, Rihab yang berusia 34 tahun, kelihatan pucat dan senyap dengan tangannya penuh dengan parut akibat menghiris diri sendiri.
Dia bercakap secara terbuka, tetapi tidak berbangga dengan punca dia berada di penjara itu.
Dia tidak perlukan wang kerana dia sudah mempunyai pekerjaan di sebuah hospital tempatan. Jenayah yang dilakukannya adalah memilih untuk meniduri dua lelaki yang kedua-duanya juga disumbatkan ke penjara.
"Saya melakukannya, saya tak tipu, saya lakukannya dua kali," katanya.
Keluarga memang marahkan Rihab pada mulanya, tetapi ayahnya sudah memaafkan dirinya.
"Dia beritahu jiran saya berada di Mesir, dia akan dapatkan peguam untuk saya," katanya.
Dua lelaki itu sudah dibebaskan selepas mengupah peguam untuk membahaskan kes mereka.
Mereka yang dituduh melakukan jenayah moral jarang dikenakan hukuman, kata Suliman.
Sebaliknya, hakim memanjangkan tempoh tahanan 30 hari itu beberapa kali dan membebaskan mereka antara empat hingga lapan bulan kemudian. Tempoh itu berkurangan jika wanita terbabit berkahwin tetapi tempoh dilanjutkan jika dia melakukan kesalahan itu berulang kali.
Berbanding Rihab, sesetengah wanita biasanya enggan mengakui punca mereka berada dalam tahanan. Kholud, 18, dan ibunya, sudah berada di penjara sejak dua bulan lalu dan mereka mengatakan dipenjara kerana pertelingkahan keluarga.
Umm Ahmed pula secara terbuka menyanggah kata-kata mereka, tetapi wanita terbabit enggan menukar cerita mereka.
Di luar tahanan, seorang pengawal mengiringi seorang pengunjung. Wajahnya sedih, tetapi suaranya penuh dengan rasa geram tatkala dia menggambarkan wanita dalam tahanan itu sebagai sebahagian daripada rumah pelacuran.
"Seluruh keluarga memang teruk. Mereka semua terbabit. Ayahnya berkuasa. Lelaki yang bersama anak perempuan itu juga pernah bersama ibunya.
"Jangan percaya kata-kata mereka," kata pengawal wanita itu - AFP
Apa yang menarik kat sini | ||
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!! | ||
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini! | ||
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan |
0 komen:
Post a Comment