KOTA KINABALU: Pilu hati sepasang suami isteri apabila anak mereka berusia dua tahun yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) selepas menjalani pembedahan membuang tumor dalam otak, kini kritikal dan didakwa akibat kecuaian jururawat.
Bapa kanak-kanak itu, Laifi Joseph, 42, mendakwa seorang jururawat tersilap memasukkan cecair dipercayai susu ke saluran darah anaknya, Fiebienly Laifi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, di sini, empat hari lalu.
Menurutnya, anak perempuannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) baru selesai menjalani pembedahan dan kimoterapi selepas disahkan menghidap tumor dalam otak.
“Saya kesal dengan sikap jururawat itu yang cuai ketika menjalankan tugas sehingga nyawa anak saya terancam,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di hospital itu, semalam.
Menurutnya, kejadian itu disedari kira-kira jam 7 pagi pada 1 Februari lalu ketika dan dan isteri melawat Fiebienly yang ditempatkan di PICU.
“Kami terkejut apabila mendapati tiub di bahagian ketiak kiri Fiebienly yang biasanya menyalurkan ubat dipenuhi cecair seperti susu, manakala lengannya mulai membiru,” katanya.
Laifi berkata, dia terus memanggil doktor bertugas ketika itu dan pegawai perubatan itu kemudian mengarahkannya keluar dari wad untuk membolehkan pemeriksaan dilakukan.
Katanya, mengikut prosedur setiap jam 6 pagi atau selepas tiga jam anaknya akan diberikan susu.
“Saya yakin jururawat tersilap memasukkan susu di saluran yang tidak betul kerana biasanya makanan hanya disalurkan melalui tiub yang dimasukkan melalui hidung.
“Selepas kejadian itu, ada doktor dan pihak pengurusan menemui saya dan menyatakan permohonan maaf di atas kesilapan itu,” katanya.
Menurutnya, apa dikesalkan kini pihak hospital seolah-olah cuba menyembunyikan kesilapan itu dan berdolak-dalih.
“Saya mahu tahu siapa individu yang bertanggungjawab dan dia perlu meminta maaf secara berdepan dengan saya kerana ia membabitkan nyawa manusia.
“Apatah lagi, anak saya baru berusia dua tahun dan OKU pula,” katanya yang ‘menetap’ di hospital berkenaan sejak tiga bulan lalu.
Laifi berkata, selepas kejadian terbabit, dia mendapati tubuh anaknya semakin susut.
“Walaupun doktor menyatakan anak kami tiada sebarang masalah akibat kejadian itu, kami tetap bimbang kerana perubahan berat badan agak ketara,” katanya.
“Anak kami baru saja menjalani pembedahan dan masih dalam keadaan lemah, berlaku kejadian ini pula,” katanya.
Sehubungan itu, Laifi membuat aduan kepada pihak hospital mengenai perkara itu kerana bimbang kemungkinan berlaku kejadian tidak diingini pada masa depan.
“Saya juga sudah membuat laporan polis kerana bimbang sekiranya berlaku sebarang masalah terhadap anak kami selain hospital tidak mahu bertanggungjawab,” katanya yang turut mempertimbangkan mengambil tindakan undang-undang.
Ibu mangsa, Debbie Lee, 25, mendakwa individu yang melakukan kesilapan itu tidak pernah bertemu suami atau dirinya meminta maaf.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin ketika dihubungi, memberi jaminan pihaknya akan melakukan siasatan terperinci mengenai perkara itu.
“Ini kes serius kerana membabitkan kecuaian. Saya akan meminta hospital itu memberi laporan penuh kejadian sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.
Apa yang menarik kat sini | ||
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!! | ||
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini! | ||
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan |
0 komen:
Post a Comment