Home » » Tradisi membuat tuak

Tradisi membuat tuak



DI SEBUAH pangsapuri yang terletak sejauh 14 kilometer dari bandar raya, Kuala Lumpur, Agustus Sapen tekun menanak beras pulut menggunakan dapur gas.
Dia yang berketurunan Bidayuh sedang melakukan langkah pertama dalam pembuatan sejenis minuman keras tradisional dari Pulau Borneo yang dikenali sebagai tuak.
Sehingga pulut itu masak, lelaki berusia 35 tahun itu perlu sentiasa mengacau beras tersebut supaya ia masak secara sekata dan tidak hangus pada mana-mana bahagian.
Agustus yang telah menetap di Semenanjung selama 15 tahun bukanlah seorang yang mahir membuat minuman tradisional itu, malah kedua-dua ibu bapanya tidak mempunyai kemahiran tersebut.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia mula 'rindu' pada minuman itu yang merupakan hidangan wajib setiap kali tiba Hari Gawai.
Kerinduannya semakin bertambah apabila tidak dapat pulang menyambut Hari Gawai bersama-sama keluarga di Sarawak sebaliknya terpaksa memenuhi tuntutan kerja di Kuala Lumpur.
"Perasaannya sama seperti orang negeri dari Kelantan yang menetap di Kuala Lumpur. Kadangkala mereka juga mahu merasa nasi kerabu, perasaan yang sama dirasai oleh kami di sini.
"Kebanyakan orang Sarawak yang ke Semenanjung untuk menyambung pelajaran atau bekerja tidak membawa kemahiran membuat makanan tradisional. Agak sukar mencarinya di sini," luah lelaki yang bekerja sebagai jurutera elektrik itu.
Sudah hampir setahun dia mengkaji cara-cara terbaik dalam pembuatan tuak, daripada bertanya kepada orang tua berpengalaman atau mencari jawapan logik berdasarkan pemahamannya dalam sains dan teknologi.
Petua yang telah dihimpunkan Agustus. Antaranya, tidak boleh bercakap ketika mengadun beras dengan ragi, menyimpan tempayan dalam tempat yang gelap dan banyak lagi tip lain.
Menariknya, semua pantang-larang yang diturunkan secara lisan turun-temurun itu terbukti benar dan boleh disahkan serta dijawab secara saintifik.
Fermentasi
"Proses membuat tuak menggunakan kaedah fermentasi. Ia melibatkan bakteria untuk mengubah fizikal pepejal pulut menjadi cecair.
"Jadi, kebersihan sangat penting kerana kita tidak mahu sebarang kemasukan bakteria lain yang boleh merosakkan tuak," terangnya sambil menuang serbuk ragi ke atas beras pulut yang sudah masak.
Amat mustahil untuk mendapatkan tuak yang sama seperti di kampungnya di Miri, Sarawak. Daripada mendapatkan bahan asas sehinggalah mencari perkakas menapai minuman yang wajib dihidangkan ketika Hari Gawai.
Secara tradisional, ragi diperbuat daripada tepung beras, halia dan cengkih tetapi yang dijual di pasaran terdapat pelbagai bahan lain yang boleh mempengaruhi rasa tuak kelak.
MINUMAN tuak banyak dihidangkan pada Hari Gawai sebagai salah satu cara tradisi sambutan.


Tempayan yang dipanggil tajau untuk proses awal menapai juga tidak mungkin Agustus boleh dapat di Semenanjung jadi, dia menggunakan bekas kaca kerana lebih sesuai berbanding botol plastik yang boleh mempengaruhi baunya nanti.
Injap air
Sedikit berbeza dengan kaedah tradisional, dia tidak menyimpan bekas menapai tuak dalam tempat gelap, sebaliknya dia mencipta injap air supaya karbon dioksida yang keluar dapat dikesan sekali gus menjadi penunjuk apabila proses penapaian berlaku sepenuhnya.
Caranya mudah iaitu apabila tiada lagi gelembung udara keluar dan tiada pergerakan pada mendapan, maka tuaknya sudah siap dan sedia untuk diminum.
"Melihatkan ia (mendapan) bergerak-gerak seolah-olah sejenis hidupan, saya anggap ia seperti haiwan peliharaan," ujar Agustus yang meletakkan bekas penapaiannya di ruang tamu.
Kaedah lain yang masih diikuti olehnya ialah menapis dan menukar bekas tapaian beberapa kali selepas berlaku mendapan bagi mendapatkan tuak yang jernih.
Di Sarawak, tuak merupakan minuman tradisi yang wajib dihidangkan ketika perayaan seperti Hari Gawai. Sama seperti masyarakat Melayu dahulukala yang menyorong tepak sirih kepada tetamu sebagai tanda menyambut kedatangan, penghuni rumah panjang akan menghidangkan tuak kepada setiap tetamu yang melalui pintu hadapan rumah mereka.
"Dahulu, jika ada tetamu yang menolak untuk minum pasti tuan rumah berasa kecil hati tetapi kini mereka sudah faham bahawa terdapat golongan yang tidak boleh minum terutamanya orang Islam," cerita seorang lagi orang Sarawak yang menetap di Kuala Lumpur, Michael Fletinie, 24.
Dia yang mula dibenarkan untuk minum minuman tersebut sebaik tamat sekolah berkata, penduduk rumah panjang akan mula melakukan penyediaan tuak sekurang-kurangnya dua bulan sebelum perayaan.
Ilmu pembuatan
Michael boleh menentukan usia tuak dengan melihat pada warna sahaja, semakin gelap bermakna semakin tua usianya dan rasanya bertambah sedap.
Tuak terbahagi kepada dua jenis iaitu tuak apai (lelaki) dan tuak induk (perempuan). Tuak apai lebih masam dan digemari oleh orang lelaki manakala tuak induk lebih manis dan disukai wanita.
Usaha Agustus tidak berhenti setakat mempelajari dan mengkaji pembuatan tuak. Buat kali pertama, dia telah mengadakan sebuah pertandingan yang diadakan pada akhir Jun tahun lalu sempena sambutan Hari Gawai.
Bukan sebuah pesta minum sehingga mabuk, tujuan Agustus adalah mahu mencari pembuat tuak berkualiti dan paling penting menyebarkan ilmu mengenai pembuatan dan pengendalian minuman tradisional.
RAGI ditumbuk sehingga lumat sebeum dicampur dengan pulut yang telah dikukus.


Antara bahaya yang orang ramai tidak tahu tentang pembuatan tuak adalah ketika proses penyulingan yang berfungsi menaikkan kadar alkohol dalam minuman.
Terang Agustus, pada tahap suhu pertama iaitu 30 darjah celsius, bahan yang terhasil ialah metanol yang sangat bahaya dan boleh menyebabkan peminum mengalami buta.
"Ia sepatutnya dibuang dan bukan dicampur kembali dengan hasil yang keluar pada takat 70 dan 100 darjah Celsius seperti yang dilakukan oleh generasi terdahulu," kata Agustus dalam ucapan pembukaan di Kuala Lumpur.
Pada takat 70 darjah Celsius, ia menghasilkan etanol manakala wap air keluar pada suhu 100 darjah Celsius. Wap air tersebut mempunyai rasa seperti tuak tetapi tiada kandungan alkohol.
Agustus sempat berkongsi, makanan tradisional Melayu iaitu tapai perlu dimakan dalam tempoh dua hari selepas penyediaan kerana selepas tempoh tersebut, tapai mula mengalami proses fermentasi lalu menukar kanji menjadi alkohol.
Seramai lima orang peserta menghantar tuak tradisonal mereka bagi memasuki pertandingan tersebut dan juara dimenangi oleh Gilbert Katang, 28.
Dia yang berketurunan Iban membawa tuak yang dibuat oleh mak ciknya di Sarawak ke Kuala Lumpur.
Berbeza dengan Agustus, Gilbert percaya bahawa tuak yang terbaik mesti dibuat menerusi kaedah tradisional. Menurutnya, kaum wanita di rumah panjang secara semula jadi tahu membuat tuak.
Bahan yang digunakan dalam pembuatan tuaknya sangat ringkas tanpa sebarang improvisasi iaitu hanya beras pulut, gula dan ragi serta telah diperam selama enam bulan.
"Setiap tahun, mak cik saya akan membuat tuak dan rasanya bergantung kepada pembuat kerana air tangan orang berbeza-beza," kata pensyarah pengurusan maklumat itu.
Baginya, tapai wajib diperam di dalam tempayan tradisional dan bekas plastik sama sekali tidak boleh digunakan kerana akan mempengaruhi rasa tuak.
Mak cik Gilbert menggunakan setengah kilogram gula bagi setiap tiga kilogram beras bagi menghasilkan tuak apai yang pada malam itu berjaya membawa kemenangan kepadanya.
Kaedah pengadilan pada malam itu dijalankan oleh dua orang pengadil profesional dan salah seorangnya ialah Agustus. Markah juga dikira daripada juri awam yang terdiri daripada orang Sarawak yang tinggal di Semenanjung.
Dalam pertandingan tersebut, tempat kedua dimenangi Lily Spegie manakala tempat ketiga pula menjadi miliki Ashly Nandung. Kedua-duanya mempertaruhkan tuak induk.
Pandangan Islam
Di dalam al-Quran, terdapat ayat yang mengharamkan secara menyeluruh umat Islam minum arak iaitu dalam surah al-Baqarah dan terdapat 10 golongan yang berdosa kerana minuman itu.
Arak diharamkan kerana memberi kesan yang buruk kepada manusia dengan menghilangkan kewarasan akal fikiran dan mengkhayalkan peminumnya. Dalam menentukan hukum, umat Islam menggunakan empat sumber iaitu al-Quran, hadis, ijmak dan qias.
Sementara itu, peserta Imam Muda musim pertama, Ahmad Hazran Ahmad Kamal, 28, berkata, minuman tradisional seperti tuak atau air nira diqiaskan atau disamakan dengan hukum arak kerana kesan yang boleh didapati jika meminumnya.
"Kaedah qias yang sama digunakan dalam memberi hukum haram terhadap penyalahgunaan dadah," terang Ahmad Kamal ketika dihubungi.
Minuman keras termasuk dalam kategori air tidak suci lagi tidak boleh menyucikan. Istilah tidak menyucikan membawa maksud tidak boleh dibawa wuduk.
Minuman halal seperti air kopi atau teh tergolong dalam kategori air suci tidak boleh menyucikan. Jadi, tumpahan air jenis ini pada pakaian, sembahyang masih sah jika memakai baju atau seluar yang terkena.
Bagi minuman keras pula, bahagian yang terkena percikan perlu dibersihkan terlebih dulu sebelum dibawa solat, manakala bekas minuman arak cukup sekadar dibersihkan seperti biasa sebelum digunakan lagi,
Terdapat beberapa situasi yang membolehkan hukum mengambil minuman keras menjadi harus atau wajib. Harus dalam bidang perubatan apabila pesakit tidak mempunyai pilihan lain dan terdesak.
Contoh situasi bagi hukum wajib pula, apabila seseorang itu sesat di tempat yang tiada sumber makanan dan dalam keadaan kebuluran lalu, seekor babi melintas. Maka, wajib bagi individu itu makan.
"Jika tidak dimakan, ia dikira membunuh diri, tetapi hanya sedikit tidak sampai mengenyangkan," kata Ahmad Hazran yang mendapat pendidikan dalam bidang pengkhususan al-Quran di Universiti al-Azhar, Mesir.


Artikel Penuh: kosmo 

Apa yang menarik kat sini
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!!
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini!
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan

0 komen:

Post a Comment