KETUA Kampung, Moin Siri, menunjukkan kepada Mohd Puad tempat mayat Allahyarham Hasan ditemui rentung di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang, awal pagi semalam.
BATU PAHAT: Boboi! Tolong abah bukakan pintu ni, lekas nak... ya Allah, panasnya..., jeritan terakhir seorang ayah sebelum rentung dalam kebakaran rumah mereka di Kampung Parit Jabar Laut, Senggarang, dekat sini, awal pagi semalam.
Bagaimanapun usaha Boboi atau Ahmad Borhan, 15, untuk membantu ayahnya Hassan Daeng Patangga, 68, dengan memecahkan pintu rumah gagal kerana sebaik berbuat demikian jeritan itu tidak kedengaran lagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Hasan maut selepas masuk kali ketiga ke dalam rumah yang sedang terbakar selepas menyelamat isterinya yang mengalami angin ahmar, Rohana Mohd Amin, 53, dan Boboi.
Ketika itu, hanya mangsa bersama isteri dan anak bongsunya berada di rumah, manakala anak sulung serta anak keduanya iaitu Norashima, 22, adalah penuntut Kolej Teknikal Yayasan Melaka manakala Nor Ummi, 17, pula pelajar Sekolah Menengah Vokasional Pendidikan Khas Inderapura, Kulaijaya.
Rohana berkata, dia terjaga daripada tidur berikutan terdengar letupan yang disangkakan bunyi mercun, namun terkejut apabila ternampak api dan asap mula marak dalam rumah menyebabkannya mengejut suami yang tidur di ruang tamu serta anak yang berada di sampingnya.
Malam tadi, arwah kelihatan gelisah berbanding kebiasaan sebelum tidur di ruang tamu berikutan kepanasan. Saya mengejutnya sebaik ternampak api dan asap dari bilik sebelah sebelum arwah kemudian memapah saya dan mengejutkan Boboi untuk lari keluar dengan segera.
Saya tidak menjangka suami masuk semula ke dalam rumah buat kali ketiga kerana dia sudah masuk sebelum itu untuk mengambil beberapa dokumen penting sebaik menyelamatkan saya dan anak... namun kali ini arwah tidak sempat menyelamatkan diri.
Laungan akhirnya yang meminta Boboi membuka pintu bagi menyelamatkannya amat menyentap semangat saya kerana hingga kini terngiang-ngiang di telinga... ujian ini amat berat untuk kami sekeluarga, katanya yang tidak henti mengalirkan air mata ketika ditemui di rumahnya.
Sementara itu, Ahmad atau Boboi terkilan kerana gagal menyelamatkan ayahnya disebabkan api terlalu marak selepas berjaya menendang serta memecahkan pintu rumah selepas terdengar jeritan ayahnya.
Laungan terakhir ayah yang meminta saya membuka pintu bagi menyelamatkannya tidak mungkin saya lupakan sepanjang hayat, katanya hiba.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi, melawat keluarga mangsa pagi semalam dan mengumumkan bantuan RM25,000 bagi membantu membina semula rumah keluarga terbabit yang kini terpaksa menumpang rumah jiran berdekatan selain membantu anak mangsa yang masih bersekolah. - bharian
Apa yang menarik kat sini | ||
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!! | ||
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini! | ||
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan |
0 komen:
Post a Comment