KUALA LUMPUR – Bahasa Tamil dicadang dijadikan mata pelajaran wajib bagi pelajar India di sekolah kebangsaan bagi memastikanpenguasaan bahasa itu di kalangan generasi muda kaum itu tidak terhakis.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’cruz berkata, ini bagi memastikan pelajar India bukan sahaja mampu bertutur dalam bahasa Tamil dengan baik, tetapi juga mampu membaca terbitan dalam tulisan Tamil.
Pada masa kini, terdapat pelajar Tamil yang hanya mampu bertutur dalam bahasa ibunda mereka tetapi tidak mampu membaca dalam bahasa tersebut, dan ini secara tidak langsung mempengaruhi penerbitan karya dalam bahasa Tamil, katanya.
“Isu ini patut diberi perhatian kerana jika tidak masalah kekurangan karya dalam bahasa Tamil sukar untuk diatasi,” katanya kepada pemberita selepas menutup program “Mari Membaca 1Malaysia: Ore Malaysia Vaasika Vaarunggal” di sini, Ahad.
Program itu dianjurkan oleh Persatuan Penulis Tamil Malaysia dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) yang bertujuan meningkatkan budaya membaca dalam kalangan kaum India selain memberi pengiktirafan kepada penulis dan karya Tamil.
Terdahulu dalam ucapannya, Maglin berkata, para penulis di negara ini perlu melihat kepada kumpulan sasar sebelum menghasilkan karya bagi memastikan bahan bacaan yang dihasilkan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Berdasarkan kajian olahan semula profil membaca masyarakat Malaysia pada 2010, ia menunjukkan rakyat negara ini yang berumur 10 hingga 40 tahun membaca purata lapan buah buku setahun, katanya.
Bagaimanapun, katanya bagi mereka yang berumur 41 tahun dan ke atas hanya membaca purata enam buah buku setahun dan keadaan itu mungkin disebabkan bahan bacaan yang sesuai bagi golongan tersebut tidak mencukupi.
“Penulis-penulis perlu melihat kepada keperluan semasa dan juga membuat jangkaan keperluan masa hadapan daripada segi bahan bacaan yang diperlukan,” katanya.
Menurut Maglin sehingga 31 Disember 2011, Malaysia mempunyai seramai 5,150 orangpenulis dan 9,609 penerbit.
Bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 495 judul bahan bacaan dalam bahasa Tamil direkodkan dan diserahkan kepada PNM di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986. – BERNAMA
Apa yang menarik kat sini | ||
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!! | ||
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini! | ||
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan |
0 komen:
Post a Comment