Home » » Terengganu, Kelantan, Kedah tempuh laluan berbeza Piala FA

Terengganu, Kelantan, Kedah tempuh laluan berbeza Piala FA

piala FA

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Terengganu, Kelantan dan Kedah menempuh laluan berbeza pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA semalam.

Terengganu yang merupakan juara Piala FA pada 2000 dan 2011 hanya mampu mencatatkan kemenangan tipis, 1-0 ketika bertemu Lions XII dari Singapura di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. 

Pemain tengah skuad Penyu Joseph Kalang Tie muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-65. 

Gol tersebut berpunca daripada sepakan Kalang Tie yang terkena pemain pertahanan pelawat, Sevki Sha'ban sebelum menerjah jaring untuk menewaskan Hyrulnizam Juma'at di gawang Lions XII.

Pasukan pelawat sebelum itu ditimpa malang apabila pemain pertahanannya Hariss Harun dikenakan kad merah oleh pengadil perlawanan Syed Azhar Syed Kamar kerana menyiku penyerang import skuad Penyu dari Liberia Francis Forkey Doe pada minit ke-53.

Jiran mereka, Kelantan mencatatkan kemenangan selesa, 3-0 ke atas pasukan kelab SPA FC di Stadium Nasional, Bukit Jalil. 

Ketua pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi membuka tirai jaringan untuk skuad Kijang pada minit ke-45 sebelum pemain tengah Nor Farhan Mohamad menggandakan jaringan empat minit kemudian. 

Nor Farhan sekali lagi mencatatkan nama apabila menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-79. 

Sementara itu, Kedah hanya mampu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ketika bertemu wakil kelab dari Terengganu, T-Team di Stadium Darul Aman, Alor Setar. 

Sebuah lagi pasukan kelab Sime Darby mencatatkan kemenangan tipis, 3-2 ke atas Johor FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam satu lagi aksi suku akhir pertama semalam. 

Pada aksi suku akhir kedua Piala FA Selasa ini, Terengganu akan berkunjung ke Stadium Jalan Besar, Singapura untuk menentang Lions XII manakala Kelantan akan menanti kunjungan SPA FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu. 

Selain itu, T-Team akan menanti kunjungan Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah manakala Johor FC akan menanti kunjungan Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang. - BERNAMA



Apa yang menarik kat sini
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!!
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini!
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan

0 komen:

Post a Comment