Mayat Gimun ditutupi kain putih selepas meninggal dunia berhampiran Hentian Bas Simpang Kota Bahagia, di sini, pagi semalam. |
MUADZAM SHAH – “Mengucap ayah, mengucap,” hanya itu sahaja perkataan yang sempat dikatakan seorang menantu tiri, David Joni Putra, 36, kepada bapa mentuanya yang tiba-tiba rebah dan meninggal dunia berhampiran Perhentian Bas Simpang Tiga Kota Bahagia, di sini, pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku sewaktu bapa mentuanya, Gimun, 41, keluar dari kereta yang dipandu menantunya itu untuk menaiki sebuah teksi yang sedang menunggunya di hentian bas terbabit.
David Joni berkata, sebaik sahaja tiba di hentian itu, bapa mentuanya itu tiba-tiba longlai tetapi dia yang ketika itu berada berhampiran Gimun sempat memaut bahu lelaki itu supaya tidak terjatuh.
“Saya terus membaringkannya dan menyuruhnya mengucap kerana suaranya tidak lagi kedengaran, sebaliknya hanya nafasnya sahaja yang tercungap-cungap,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut David Joni, bapa mertuanya itu mengambil teksi sewa untuk ke kedutaan di Johor Bharu dan akan menaiki feri untuk pulang ke negara asalnya di Medan, Indonesia.
Katanya, semasa dalam perjalanan dari rumahnya di Ladang Bukit Serok itu, bapa mentuanya itu tidak menunjukkan sebarang tanda tidak sihat.
“Dia lebih banyak berdiam diri. Cuma dia ada bertahu saya yang dia mahu cepat sampai ke hentian itu kerana tidak mahu pemandu teksi menunggunya lama di situ,” katanya.
Menurutnya, bapa mentuanya itu sebelum ini bekerja sebagai pemandu jentolak dan tinggal di Muadzam Shah, namun sejak seminggu lalu dia membawa bapa mentuanya itu tinggal bersamanya di ladang berkenaan.
“Sebenarnya saya baru tahu dia sakit dan kami ambil keputusan untuk membawanya tinggal bersama kami kerana bimbangkan kesihatannya yang tidak menentu,” katanya.
Menurutnya, bapa mentuanya itu merancang untuk pulang semula ke Indonesia bagi melawat isteri dan anak-anaknya, namun hasratnya itu tidak kesampaian.
“Semasa berada di rumah kami, arwah kelihatan gembira seolah-olah tidak sabar untuk pulang menemui keluarganya di sana,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, mangsa dipercayai rebah dan meninggal dunia di Kilometer 118.9 Jalan Kuantan Segamat berdekatan Perhentian Bas Simpang Tiga Kota Bahagia.
Johari berkata, polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu telah membawa mayat mangsa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan yang dialami dan polis mengklasifikasikan mangsa mati mengejut.
"Mayat mangsa pula akan dituntut waris terdekat bagi urusan pengebumian,” katanya.
sinarharian
Apa yang menarik kat sini | ||
Info Menarik di Sajikan Untuk Anda Di Sini!! | ||
Inginkan Anak Cemerlang? Klik Disini! | ||
Iklan Produk Anda Di Sini. Hanya RM10/sebulan |
0 komen:
Post a Comment